KIAMAT
Sahabat pernah menyuarakan topik ini. Aku cuma terkedu. Takut. Aku juga takut. Banyak perkara yang menakutkan aku. Allah.. Sudah bersediakah aku? Tanggungjawab dah selesai semua? Ibadatku macam mana? Semua terngiang-ngiang di benakku bila terlintas soal kematian serta hati pembalasan. Aku teringat lagi pasal hari pembalasan yang pernah diceritakan ketika subjek Usuluddin aku dulu. Ustaz pernah kata, lihat pada surah Al-Zalzalah. Di situ ada menceritakan tentang hari kiamat, Zalzalah yakni bermaksud kegoncangan.
Terjemahan:
1.(1) Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang kuat,
2. dan Bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya (2),
3. dan manusia (3) bertanya, "Apa yang terjadi pada Bumi ini?"
4. Pada hari itu Bumi menyampaikan beritanya (4),
5. kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) padanya.
6. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok (5), untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) perbuatannya,
7. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (6), nescaya dia akan melihat (balasan)nya.
8. dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya (7).
Begitulah yang diceritakan dalam ayat tersebut. Banyak dalil pasal kiamat, tapi aku sendiri lupa. Jadi, bagaimana? Al-Quran sendiri yang menceritakan tentang wujudnya hari pembalasan. Aku terbayang sebuah video yang sahabat kongsikan kepadaku. Allah. Ramai sudah ulama' bermimpi tentang kemunculan Dajjal. Sudah cukup kuatkah iman kita untuk melawan fitnah makhluk ini kelak? Aku semakin risau bila dikatakan golongan wanita yang paling mudah terpengaruh dengan fitnah Dajjal ini. Sehingga Rasulullah S.A.W sendiri pernah berkata kepada sahabat, mafhumnya, jika boleh ikatlah isteri dan anak-anak perempuanmu di rumah. Mereka golongan yang mudah tergoda dengan fitnah Dajjal. Allah. kuatkah kami kelak?
Salah satu petanda kiamat ini, Bumi menjadi kering. Kata ustaz tersebut, beliau sendiri dapat melihat, hujan sudah semakin jarang turun. Jika tiga tahun berturut-turut keadaan sedemikian berlaku, cuba fikirkan. Itulah petanda kiamat semakin dekat.
Aku juga seperti kalian. Jujur, aku belum bersedia. Aku sudah banyak kali diingatkan untuk mengamalkan Al-Kahf. Pertama kali ketika aku di SMKA Igan. Kedua, di SMKA Sibu, dan tidak disangka-sangka aku juga diperingatkan di UMS ini. Sahabat-sahabat yang membaca, amalkanlah Surah Al-Kahf. Dunia semakin uzur.
Secara jujurnya juga, aku belum "berhijrah" sepenuhnya. Aku cuma bagaikan mengembalikan "fitrah" aku yang dulu. Fitrah pemakaianku ketika di bangku sekolah. Jika dilihat cara pemakaianku agak berbeza sedikit berbanding semester lepas, itu memang betul. Cuma, aku belum sepenuhnya memperbaiki diri aku sendiri. Aku pernah ditegur untuk berubah, tapi aku berkeras, aku tidak akan berubah melainkan gerak hati aku sendiri mengarahkan aku untuk berbuat sedemikian. Sekarang, aku cuba kembalikan fitrahku yang dulu, aku tidak berubah kerana orang lain. Justeru, aku sentiasa perlukan sahabat yang sentiasa cuba menarikku untuk terus mengenal erti hijrah yang sebenarnya.
Sahabat dan para pembaca, jika esok dirasakan belum tentu nafas kita masih berhembus, tanamlah niat dalam diri. Berhijrahlah ke arah yang lebih baik. Anda mungkin lebih beruntung berbanding aku. Berubah sedikit demi sedikit. InsyaAllah, Allah sentiasa bersamamu. Aku tidak mampu mencegah kemungkaran melalui tangan dan lisanku. Itu kelemahanku. Moga-moga melalui pembacaan ini terkesan walaupun sekelumit untuk anda dan anda berubah ke arah yang lebih baik.
Mati itu sebenarnya indah. Indah bagi orang yang sudah bersedia. Kerana mati itu syarat menemui cinta.
Jika lupa tentang kematian, ingatlah, hari pembalasan semakin menghampiri. Tanya diri, sudah siapkah aku untuk semua itu?
Aku,
-Pendosa-
Smart2..! hehe
ReplyDeletesmart method. kakaka
ReplyDelete